Wednesday, November 16, 2011

Surat Kebenaran Lanjutan Memungut Derma - sehingga 16 Apr '12




















Pada 11 Oktober 2011, pihak Jawatankuasa Pembinaan MBBR telah menerima surat kebenaran memungut derma yang mana lanjutan daripada siri terdahulu. Kebenaran ini diberikan sehingga 16 April 2012 oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

10 penama yang dinyatakan sebelum ini dikekalkan sebagai pemegang amanah memungut derma bagi pihak JPMBBR.
10 penama berkenaan adalah seperti berikut:

1. En Md Nazri Mohamed Nor (IMPRESA)
2. En Mohammad Halim Jantan (IMPRESA)
3. En Mohd Azli Mat Daud (IMPRESA)
4. En Mohd Shaifudin Mat Hussin (CASABELLA)
5. En Shahrizan Adzham Ahmad (ADORA)
6. En Muhd Faizul Azwan Mohd Fauzi (DAISY)
7. En Mohamed Syahril Zainol (LOTUS)
8. En Baharom Janah (ANDIRA)
9. En Azahar Mohd Yunus (INANG)
10. Tn Hj Abdul Razak Aboo Hassan (ZAPIN)

Nama-nama yang tertera ini merupakan wakil-wakil pemungut derma mengikut kawasan perumahan di sekitar BBR dan dilihat taburan secara menyeluruh. Tuan-tuan/Puan-puan bolehlah berhubung terus dengan wakil di atas jika ada sebarang hal berkaitan.

Mereka ini juga boleh dihubungi dengan berkunjung ke SURAU AR RAUDHAH yang terletak berdekatan dengan perumahan Pangsapuri REBANA.

Mereka senantiasa menanti anda...!!!!

Pengesahan Kelulusan Kebenaran Merancang Dari MPK

Jawatankuasa Pembinaan MBBR telah menerima surat pengesahan bagi Kelulusan Penuh Kebenaran Merancang daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK). Surat yang bertarikh 7 Oktober 2011 itu disertakan juga dengan pelan susunatur kedudukan bangunan.

Nampaknya kita berada dilandasan yang tepat menuju pembinaan masjid impian ini. Urusan berkaitan dengan proses kelulusan berjalan dengan lancar. Tinggal lagi perkara yang utama adalah pengumpulan dana untuk pembinaan masjid ini.

Ayuh... bersamalah para AJK JPMBBR membantu merealisasikan impian ini. Moga kita sentiasa dikasihi dan rahmati Allah SWT.

Thursday, October 13, 2011

LOKASI TAPAK MASJID BANDAR BUKIT RAJA

1. GAMBARAN TAPAK MASJID DARI PANDANGAN SISI -TAIPAN BUSINESS CENTRE BBR


2. GAMBARAN TAPAK MASJID DARI PANDANGAN SISI -PERUMAHAN IMPRESA

3. GAMBARAN TAPAK MASJID DARI PANDANGAN UDARA (SUMBER: GOOGLE MAP)

KHABAR DARI MEJA PENGERUSI JPMBBR

DARI MEJA PENGERUSI
JAWATANKUASA PEMBINAAN MASJID BANDAR BUKIT RAJA (JPMBBR)

"Berita terkini.

i) Alhamdullilah permohonan lanjutan pungutan derma telah diserahkan kepada pegawai MAIS semalam, 29/9/11 jam 2:45 ptg. InsyaAllah jika tiada masalah kelulusan baru akan diterima dalam bulan Oktober nanti.


ii) Satu program Forum Perdana Ehwal Islam akan dianjurkan pada 21/01/12 di kawasan Presint Zapin. Program ini adalah anjuran JPMBBR dengan kerjasama para penduduk Zapin. Pihak penganjur sedang berusaha membawa personaliti dakwah & ilmuan terkenal ke Bdr Bukit Raja.

iii) JK Penjanaan Dana dibawah Unit Ekonomi sedang merancang projek kalendar 2012 sebagai wadah promosi Tabung Pembinaan Masjid kita.

iv) Siri promosi akan diteruskan sepanjang bulan Oktober & November dengan kali ini tumpuan kepada penyertaan dalam majlis / program yang dianjurkan oleh organisasi disekitar BBR.

v) Pihak JPMBBR memerlukan tenaga kerja dari golongan wanita muslimat untuk memplebagaikan lagi kaedah dan pendekatan promosi. Sesiapa yang berminat sila hubungi pihak jawatankuasa atau email kepada masjid@bandarbukitraja.org.

vi) Diperlukan pereka grafik dan web moderator untuk laman web Projek Pembinaan Masjid BBR dengan kadar yang segera. Sila hubungi pihak JK melalui email rasmi.

Sekadar itu sahaja daripada kami." - Nazri Mohamed Nor, Pengerusi JPMBBR

Monday, September 12, 2011

Kutipan Dana @ 29 Ogos 2011: RM 279,000.00

DARI MEJA BENDAHARI JPMBBR,

"Assalam,
Alhamdullillah, walaupun dalam keaddan yg pasif tanpa sebarang aktiviti danjurkan oleh JPMBBR pada bulan Ramadhan. Sumbangan wakaf dan derma adalah amat menggalakkan. Ribuan kesyukuran atas keikhlasan dan rasa keinginan utk melihat terdirinya rumah Allah di Bdr. Bkt Raja." -Mhj Halim

Friday, July 29, 2011

Kutipan Dana @ 28 Julai 2011: RM 186,522.00

ALHAMDULILLAH

Kutipan tabung pembinaan masjid BBR telah mencecah RM 186 ribu sehingga tarikh kewangan 28/7/2011. Mengikut Bendahari Jawatankuasa Pembinaan Masjid BBR, En Halim Jantan dalam laman sosial Facebook (fb) Rakan Masjid Bandar Bukit Raja, jumlah berkenaan adalah termasuk dana yang diterima ketika Karnival Rakan Masjid BBR tempoh hari.

"Assalam, laporan terkini 28.7.11 jumlah terkumpul dalam tabung pembinaan Masjid BBR
RM186,522.00 termasuk dana yang diterima ketika Karnival 2.7.11.(RM20,780.00).
Secara keseluruhan 588 lot (RM58,800) telah terjual. Amnya baki yang masih dbuka
adalah 47,412 lot untuk diwakafkan. Sempena menyambut kedatangan bulan Ramadhan
yang mulia sama-sama kita mengimarahkan Surau Arraudah mcm mcm ada xspecialy weekend dsamping itu beramal jariah n kerja kuat merealisasikan impian terbinanya Masjid BBR. wassalam "- Mhj Halim

Dalam fb berkenaan juga, beliau memaklumkan sebanyak 588 lot saham wakaf telah dijual.

Ayuh!!! Kita sama-sama perjuangkan kutipan ini.
Ambillah kesempatan kehadiran Ramadhan ini.
Perjalanan masih jauh.
Masih banyak kerja yang perlu dibuat.

War warkan no akaun ini:

1277-0000702-105
CIMB ISLAMIC
Jawatankuasa Pembinaan Masjid Bandar Bukit Raja

Thursday, July 28, 2011

Surat Kebenaran Merancang Dari MPK Telah Diterima

Kelulusan teknikal pertama telah diperolehi secara dasar daripada pihak berkuasa tempatan (MP Klang).
Tumpuan kerja selepas ini adalah persediaan untuk proses kelulusan bangunan.




Monday, July 4, 2011

MERIAHNYA KARNIVAL RAKAN MASJID BANDAR BUKIT RAJA


2 JULAI 2011 (SABTU) Bandar Bukit Raja, Klang - Karnival Rakan Masjid Bandar Bukit Raja telah berlangsung dengan meriahnya dengan pengisian pelbagai aktiviti yang telah disusunaturkan oleh pihak penganjur.

Karnival ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dr Ab Rani Osman (ADUN Meru). Dalam ucapannya, YB Dr Ab Rani menyokong penuh usaha yang dibuat oleh kita semua demi mewujudkan sebuah masjid di kawasan ini. YB juga menyeru semua penduduk di sini bersatu dan berpadu untuk merealisasikan impian ini. YB kemudian melawati gerai-gerai pameran di karnival ini termasuklah booth pameran rekabentuk Masjid BBR.

Program diteruskan dengan aktiviti Zakat Didik yang membabitkan kanak-kanak. Kanak-kanak diajak berzikir dan selawat serta menyanyikan lagu-lagu berunsur kekeluargaan. Seramai 120 orang kanak-kanak yang terlibat telah mengikuti pertandingan mewarna dengan goodies disumbangkan oleh Lembaga Zakat Selangor. Program dimeriahkan dengan celoteh dan interaksi bersama hadirin oleh 3 pengacara dari Lembaga Zakat Selangor iaitu Ustaz Hashim Fikri Al Jawi, Q-Har dan Hatta.

Kemudian, majlis diteruskan dengan demonstrasi menangkap ular oleh JPA3. Ular sawa sepanjang 4 meter dengan berat 15 kg telah berjaya ditangkap oleh salah seorang anggota JPA3 dan telah menarik audians terutama kanak-kanak.

Karnival ini juga mendapat sentuhan kreatif Deejay Radio Malaysia Selangor iaitu saudara Zainal Rahman yang popular dengan nama Abang Jenal Anak Pak Rahman Dan Mak Timah. Celoteh beliau dicelah-celah slot-slot aktiviti berjaya mencuit hati para pengunjung.

Karnival bersambung pada jam 2.30 petang setelah berhenti rehat pada jam 1 tengahari dengan persembahan nasyid daripada penghuni Rumah Anak-Anak Yatim Sungai Pinang sebelum diteruskan oleh Imam Muda Asyraf melalui slotnya Sembang Petang Bersama Imam Muda Asyraf dengan kupasan tajuk "TRANSFORMER". Celoteh beliau yang berdialek utara berjaya mencuit golongan remaja dan golongan muslimah. Petang hari karnival diakhiri dengan pertandingan tarik tali yang berlangsung di padang permainan Casa Vista. Pertandingan ini berjaya menarik 8 pasukan yang mewakili perumahan di BBR ini. Juara pertandingan telah dimenangi oleh pasukan Casa Vista setelah mengalahkan pasukan Daisy/Violet diperingkat akhir.

Pada malamnya, karnival dimulakan dengan solat maghrib berjemaah dan solat hajat perdana di tapak karnival dengan diimami oleh Ustaz Fahim iaitu salah seorang penduduk di BBR ini. Kemudian, majlis pelancaran tabung dana pembinaan dan laman web rasmi Masjid Bandar Bukit Raja yang telah disempurnakan oleh Ustaz Mohamad Rostam dari Lembaga Zakat Selangor. Karnival ini diakhiri dengan Forum Perdana Ehwal Islam yang dipengerusikan oleh Ustaz Mat Romzi yang menggantikan YB Dato' Dr Hassan Ali yang tidak dapat hadir pada saat akhir ekoran tugasan yang lebih segera di Ijok. Forum ini dengan tajuk 'Dunia Diuji, Syurga Dinikmati' telah dikupas oleh 2 ahli panel tersohor iaitu Ustaz Dr Azhar Yaakub dan Ustaz Halim Din.

Karnival ini telah berjaya mengutip jumlah RM 20,710.85 tambahan kepada dana dengan RM1200.00 daripadanya hasil kutipan gerai-gerai jualan.

Tuesday, June 28, 2011

PERUTUSAN PENGERUSI JPMBBR SEMPENA KARNIVAL RAKAN MASJID

PENGERUSI
JAWATANKUASA PEMBINAAN MASJID BANDAR BUKIT RAJA (JPMBBR)
DALAM LAMAN SOSIAL FACEBOOK
GROUP "RAKAN MASJID BANDAR BUKIT RAJA"
MENYERU SEMUA AHLI FACEBOOK DAN MASYARAKAT DI SINI
UNTUK SAMA-SAMA HADIR MENGIKUTI PROGRAM KARNIVAL
YANG DISAJIKAN..........

Assalammualaikum Wmt.Wbt,

Kepada semua ahli Facebook Rakan Masjid Bandar Bukit Raja,

Sahabat-sahabat sekalian,

Adalah semua sedia maklum bahawa pada 2hb Julai hari Sabtu ini akan berlangsungnya satu program yang julung-julung kalinya dianjurkan oleh jawatankuasa pembinaan Masjid Bandar Bukit Raja (JPMBBR) yang dikenali Karnival Rakan Masjid Bandar Bukit Raja.

Jawatankuasa penganjur yang diketuai oleh En.Azahar (Tiimbalan Pengerusi JPMBBR) bersama dengan para ajk beliau sedang membuat persiapan rapi untuk memastikan semua program yang dirancang dapat berjalan dengan sempurna dan lancar.

Justeru, saya bagi pihak JPMBBR dengan segala hormatnya menjemput sahabat-sahabat sekalian bersama seisi keluarga berkunjung ke tapak karnival pada 2hb Julai ini untuk menyaksikan pelbagai program, bahan pameran serta jualan yang bakal disajikan kepada para pengunjung.

Pihak penganjur juga turut menyediakan satu ruang pameran khas daripada JPMBBR yang akan mempamerkan Model Rekabentuk Masjid Bandar Bukit Raja dan semua aktiviti JPMBBR sepanjang tahun bermula 2009 hingga kini.

Selain daripada itu, pihak JPMBBR juga akan membuka kaunter penerangan kepada para pengunjung karnival bagi menjelaskan mekanisma sumbangan wakaf / derma untuk Tabung Dana Pembinaan Masjid BBR.

Saya juga menyeru kepada sahabat-sahabat sekalian agar dapat bersama-sama dengan ahli jawatankuasa untuk menunaikan Solat Maghrib diikuti Solat Hajat Perdana di tapak karnival. Kita berdo'a bersama-sama kepada Allah SWT agar memudahkan segala urusan pembinaan masjid hingga terlaksana, mengeratkan lagi Ukhuwwah Islamiyah dikalangan para ajk & para penduduk BBR khususnya dan dipohon supaya Allah SWT membuka hati umat Islam dimana-mana jua untuk menghulurkan sumbangan wakaf mahupun derma ikhlas kepada Tabung Dana Pembinaan Masjid.

JOM DATANG !! DATANG JANGAN TAK DATANG BERSAMA KELUARGA


Yang melaksanakan amanah,



Md Nazri Bin Hj Mohamed Nor
Pengerusi,
Jawatankuasa Pembinaan Masjid Bandar Bukit Raja

GERAK KERJA HEBAHAN KARNIVAL RAKAN MASJID BBR TELAH BERMULA

26 JUN 2011, BANDAR BUKIT RAJA. Satu gotong royong pemasangan banner dan bunting karnival telah diadakan pada hari ini seawal jam 9.00 pagi oleh para sukarelawan.

Surau Ar Raudhah menjadi 'port' untuk para sukarelawan berkumpul dan membuat persediaan sebelum operasi pemasangan dibuat. Seramai 13 orang sukarelawan ini telah dibahagikan kepada 3 pasukan dengan masing-masing diketuai oleh pemilik tangga iaitu Team En Ismail (Daisy), Team En Rosdan (Casabella) dan Team En Azmi (Violet).











Selain banner dan bunting, para sukarelawan juga dibekalkan dengan poster karnival untuk ditampal di surau-surau dan masjid dalam kawasan sasaran masing-masing seperti berikut;

1. Team En Ismail
- Sekitar tapak karnival
- Traffic light simpang 4 Sales Gallery ke Taipan
- Kampung Batu Belah dan sekitarnya
- Masjid Batu Belah

2. Team En Rosdan
- Persint Zapin
- Setia Alam
- Pekan Meru
- Traffic light simpang 4 Sales Gallery ke Jalan Meru
- Masjid Assyarif Meru

3. Team En Azmi
- Traffic light simpang 4 Sales Gallery ke Jalan Hj Sirat
- Persint Inang
- Klang Utama dan sekitarnya
- Sungai Kapar Indah
- Masjid Batu 4
- Masjid Sg Pinang

Sebelum itu, edaran 'flyers' juga telah dibuat melalui kepilan di akhbar pada hari berkenaan. 2 akhbar terpilih iaitu Berita Minggu dan Mingguan Malaysia telah dikepilkan sebanyak 2000 unit flyers dengan liputan ke kawasan sekitar Bandar Bukit Raja, Batu Belah, Pasar Borong Klang, Setia Alam, Meru, Kapar, Rantau Panjang, Klang Utama dan Sungai Pinang. Sesiapa yang membeli akhbar berkenaan pada hari tersebut, pastinya menemui kepilan iklan berkaitan hebahan ini.

Manakala 1000 unit flyers lagi akan dibuat edaran menggunakan kaedah yang sama pada keluaran Jumaat (1/7/2011) nanti melalui akhbar KOSMO dan HARIAN METRO.

Sementara itu, 1000 unit flyers akan diedarkan ke peti surat penduduk BBR dan sekitarnya melalui persatuan penduduk masing-masing mulai 29 Jun 2011.

JAWATAN KOSONG:
Kepada sesiapa yang berkesudian untuk mengedarkan flyers kepada warga penduduk di sekitar BBR ini, bolehlah menghubungi En Faizul (013-9849859) bagi satu daripada tugasan berikut ;

1. Edaran flyers di Pasar Malam Klang Utama - Rabu 29/6/2011 jam 8.00 malam
2. Edaran flyers ke kenderaan jemaah Solat Jumaat Masjid Batu Belah - Jumaat 1/7/2011 jam 3.00 tghri
4. Edaran flyers ke kenderaan jemaah Solat Jumaat Masjid Meru - Jumaat 1/7/2011 jam 1.00 tghri
5. Edaran flyers ke kenderaan jemaah Solat Jumaat Masjid Batu 4 - Jumaat 1/7/2011 jam 1.00 tghri
6. Edaran flyers di Pasar Malam Sri Pekan - Jumaat 1/7/2011 jam 8.00 malam

SEMOGA ALLAH BERKATI DAN PERMUDAHKAN SEGALA URUSAN KITA

Kunjungi Booth Pameran @ Karnival Rakan Masjid BBR -SABTU 2.7.2011


JOM kunjungi Karnival Rakan Masjid Bandar Bukit Raja pada 2 JULAI 2011 nanti.

Pelbagai Gerai Pameran disediakan.
Ada 'Booth' institusi kewangan
Ada 'Booth' telekomunikasi
Ada 'Booth' agensi kerajaan
Ada 'Booth' bahan ilmiah
Ada 'Booth' kesihatan
Ada 'Booth' automotif

Dan, yang paling penting adalah 'Booth' pameran rekabentuk Masjid Bandar Bukit Raja. Dikesempatan ini juga, anda semua boleh membuat pelaburan dalam SAHAM WAKAF pembinaan masjid yang bernilai RM100/kaki persegi. Temui 10 wakil pemungut derma yang dilantik oleh JAIS untuk urusan lanjut.

Disamping itu, lebih 30 gerai jualan juga telah ditetapkan. Pelbagai aneka makanan dan minuman serta barangan keperluan disediakan.

JOM, bersama kita jayakan majlis ini.

MACAM MACAM ADA... Berhibur & Berinformasi Sambil Beramal..!


Bak Kata P Ramlee dalam 'MUSANG BERJANGGUT';

"Payung telah kusediakan...
Perahu pun dah kusiapkan...
Hanya menunggu hujan di langit..."

JOM PAKAT DATANG RAMAI-RAMAI
















Monday, June 20, 2011

PELUANG BISNES DI TAPAK KARNIVAL RAKAN MASJID BANDAR BUKIT RAJA

KEPADA SESIAPA YANG BERMINAT UNTUK MENAMBAHKAN PENDAPATAN
DENGAN BERNIAGA DI TAPAK KARNIVAL RAKAN MASJID BBR
PADA 2 JULAI 2011 (SABTU) NANTI
BOLEHLAH BERHUBUNG DENGAN

EN HALIM JANTAN (013-2089896)

PERNIAGAAN DIBENARKAN BERMULA JAM 10.00 PAGI HINGGA 11.00 MALAM
DENGAN SEWAAN TAPAK 10X10 BERNILAI RM 30.00 SAHAJA.

HEBAHAN SEDANG RANCAK DIBUAT OLEH TEAM PROMOSI
KE SELURUH BANDAR BUKIT RAJA DAN SEKITARNYA
DENGAN JUMLAH PENGUNJUNG DIJANGKA
MELEBIHI 3 RIBU ORANG.

JOM! SAMA-SAMA KITA MEMERIAHKAN TAPAK KARNIVAL INI.
BERNIAGA SAMBIL BERAMAL.

FORUM PERDANA -"DUNIA DIUJI SYURGA DINIKMATI"

MARI! MARI! MARI!

Ikuti Forum Perdana Ehwal Islam di tapak Karnival Rakan Masjid Bandar Bukit Raja pada 2 Julai 2011 nanti yang akan dikendalikan oleh Yang Berhormat Dato' Dr Hassan Ali (Exco Kerajaan Negeri Selangor) dengan ahli panelnya terdiri daripada Ustaz Halim Din (Lembaga Zakat Selangor) dan Ustaz Dr. Azhar Yaakub (Universiti Teknologi Malaysia).

Slot program ini adalah selama hampir 3 jam bermula 8.30 malam selepas majlis perasmian tabung dana pembinaan dan laman web masjid yang akan dilancarkan oleh YAD Dato' Setia Diraja Dato' Abd Ghani Bin Pateh Akhir iaitu Orang Besar Daerah Klang.

Forum dengan tajuk 'DUNIA DIUJI, SYURGA DINIKMATI' akan mengakhiri program karnival ini yang dijangka dikunjungi kira-kira 2 ribu orang di sekitar Bandar Bukit Raja pada malam tersebut.

Marilah bersama kita ambil manfaat dari program seperti ini.

IMAM MUDA ASYRAF DI KARNIVAL RAKAN MASJID BANDAR BUKIT RAJA

JUARA PROGRAM IMAM MUDA 1 ASTRO AOSIS iaitu Imam Muda Asyraf akan bersama kita di tapak Karnival Rakan Masjid Bandar Bukit Raja.

Slot yang dinamakan 'Sembang Petang Dengan Imam Muda Asyraf' itu dijadualkan berlangsung selama 2 jam mulai jam 2.30 petang hingga 4.30 petang. Beliau akan mengupas tajuk "TRANSFORMER". Apa itu Transformer, nantikan kemunculan beliau di tempat kita pada 2 Julai 2011 nanti.

Sasaran audians adalah kepada anak-anak remaja di sekitar BBR ini agar lebih dekat dan mesra dengan program-program keislaman demi masa depan Islam di BBR ini. Marilah sama-sama kita memupuk kecintaan terhadap Islam kepada anak-anak, adik-adik dan rakan-rakan taulan dengan hadir mengikuti program-program yang diatur untuk mereka.

Karnival Rakan Masjid Bandar Bukit Raja- 2 JULAI 2011 (Sabtu)

KARNIVAL RAKAN MASJID BANDAR BUKIT RAJA akan diadakan pada 2 Julai 2011 pada Sabtu bermula jam 10.00 pagi hingga 11.00 malam bertempat di sekitar tapak masjid iaitu bersebelahan dengan Taipan Business Centre.

Karnival ini diadakan bertujuan untuk menghebahkan kepada orang ramai secara rasmi bahawa satu projek pembinaan masjid akan dilakukan di Bandar Bukit Raja. Segala kos dan inisiatif adalah usaha dan kerjasama semua penduduk di sini khususnya. Karnival ini dianjurkan sepenuhnya oleh Jawatankuasa Pembinaan Masjid BBR dengan kerjasama Persatuan-persatuan Penduduk di BBR. Lembaga Zakat Selangor juga merupakan penganjur bersama program ini.

Karnival ini dijadualkan akan dirasmikan oleh Yang Berhormat Dr Abdul Rani Osman iaitu ADUN Meru pada jam 10.00 pagi. Kemudian, program ini akan diambilalih oleh team Zakat Didik yang diketuai oleh Ustaz Hashim Fikri Al Jawi dengan penyanyi undangannya Q-Har untuk slot Program Kanak-kanak Ceria Bersama Zakat Didik. Sebelum berhenti rehat untuk solat zohor, pengunjung dijadualkan akan didedahkan demonstrasi menangkap ular oleh pihak JPA3.

Pada petangnya, bermula jam 2.30 petang para pengunjung boleh berinteraksi dengan Imam Muda Asyraf dalam program Sembang Petang Dengan Imam Muda. Kemudian, selepas asar akan diadakan pertandingan sukan rakyat iaitu tarik tali yang mana pertandingan antara taman-taman perumahan disekitar Bandar Bukit Raja ini.

Pada malamnya pula, selepas solat maghrib akan diadakan program solat hajat berjemaah. Dan kemudian majlis pelancaran tabung dana dan laman web pembinaan masjid secara rasmi oleh OBD Klang iaitu YAD. Dato' Setia Diraja, Dato' Abd Ghani Pateh Akhir. Sebaik sahaja program perasmian selesai, pengunjung akan terus disajikan dengan Forum Perdana Ehwal Islam yang akan dikendalikan oleh Yg Amat Berhormat Dato' Dr Hassan Ali iaitu Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Program dijangka berakhir jam 11.00 malam.

JOM SAMA-SAMA KITA MERIAHKAN KARNIVAL INI...!!!


Sunday, June 5, 2011

Kutipan Dana @ 30 Mei 2011: RM 80,800.00

SYUKUR SYUKUR SYUKUR!

ALHAMDULILLAH... perkembangan kutipan dana
pembinaan masjid semakin meningkat dalam tempoh yang singkat.

TAHNIAH... buat ANDA SEMUA yang telah menyumbang untuk
pembinaan masjid kita ini.

INSYAALLAH... KITA SEMUA akan terus bekerja dengan lebih keras lagi
untuk merancakkan kutipan dana ini.

TERDEKAT... program Karnival Rakan Masjid sedang dirangka oleh JKPMBBR
dengan kerjasama semua Persatuan Penduduk Perumahan BBR
dan dengan bantuan Lembaga Zakat Selangor. Program dijadualkan pada
2 JULAI 2011 jam 10 pg hingga 11 malam. Pelbagai acara telah dirangka.
Nantikan kemunculan promo program ini.

TERUSKAN... menghebah dan mendorong ahli keluarga, sahabat handai dan kenalan anda semua
untuk menyumbang ke tabung pembinaan MASJID KITA ini.

SELAMAT BERJIHAD!

Friday, May 27, 2011

TAHUKAH ANDA?

INFO PROJEK

Nama Projek : Masjid Bandar Bukit Raja

Alamat Projek : Jalan Makyong 5/KU5, Bandar Bukit Raja 41050 Klang

Koordinasi Lokasi : 3' 5' 24" N, 101' 25' 46" E

Keluasan Tanah : 4.23 ekar @ 17120 m2

Keluasan Binaan : 48000 kaki persegi

Kapasiti : 4500 jemaah

Jenis Bangunan : 2 tingkat

Kos Pembinaan : RM 15 juta (Anggaran)



STATUS PROJEK SEHINGGA KINI

* Pengesahan Status Tapak Masjid - OK

* Pembukaan Akaun Rasmi Jawatankuasa - OK

* Pemilihan Konsep Rekabentuk Masjid - OK

* Kebenaran Membina Masjid Daripada JAIS - OK
Fail Rujukan: JAI.SEL.BPM/01/033(42)

*Kebenaran Memungut Derma Daripada MAIS - OK
Fail Rujukan: MAIS/E/MAL/03-2/001/03-1/24(2)

* Kerja Ukur Topografi Tanah Tapak Masjid - OK



GERAK KERJA SETERUSNYA..........

- Kalulusan kebenaran merancang daripada MPK

- Pelancaran rasmi tabung pembinaan masjid

- Perincian kos bahan binaan dan kerja pembinaan

- Kelulusan pelan bangunan daripada MPK

- Tender pembinaan

- Penentuan arah Kiblat daripada Jabatan Mufti

- Kelulusan pengecualian cukai pendapatan daripada LHDN



KAEDAH SUMBANGAN DERMA

> Wakaf dana pembinaan masjid bernilai RM100.00 setiap kaki persegi dengan nilai gandaan

> Sumbangan derma tunai atau/dan barang kelengkapan masjid

> Kupon derma bernilai RM50.00

> Kupon derma bernilai RM10.00


Monday, May 23, 2011

Kutipan Dana @ 20 Mei 2011: RM 46,200.00

LAPORAN DARI MEJA BENDAHARI
JAWATANKUASA PEMBINAAN MASJID BANDAR BUKIT RAJA
MENDAPATI KUTIPAN DANA PEMBINAAN TELAH MENCECAH

RM 46,200.00

DALAM TEMPOH SEBULAN SELEPAS PROGRAM PAMERAN REKABENTUK
24 APRIL 2011 LALU... ALHAMDULILLAH.

MACAM MANA NAK TAMBAHKAN LAGI DANA MASJID KITA INI....???????

ANDA SEMUA diseru untuk menjadi EJEN kepada masjid ini dalam menyalurkan maklumat kepada orang luar disana agar tabung dana pembinaan sentiasa bertambah. Kita perlukan dana bukan setakat dari penduduk, malah lebih dari itu.

Secara teorinya;

Kita ada majikan.

Kita ada rakan sekerja.

Kita ada ibu ayah datuk nenek.

Kita ada sanak saudara.

Kita ada rakan taulan.

Ringankanlah mulut kita untuk menghebahkan perkara ini. Rangsang mereka untuk menyumbang. Berikan mereka nombor akaun CIMB ISLAMIC 1277-0000702-105 Jawatankuasa Pembinaan Masjid Bandar Bukit Raja.

Penulis berpendapat, jika BBR mempunyai 3000 rumah orang Islam.

Setiap mereka dapat merangsang ahli keluarga, rakan taulan dan majikan dengan purata seorang mendapat RM 1000.00. Bukankah tabung masjid kita senang-senang je nak dapat

RM 3 juta = RM1000 x 3 ribu rumah.


Macam mana nak dapat RM 1000 setiap penduduk tu?

Kita boleh gunakan Produk Utama kita iaitu LOT SAHAM WAKAF yang bernilai RM 100.00 setiap kaki persegi.

1. Buat Ayah = 1 lot

2. Buat Ibu = 1 lot

3. Buat Isteri = 1 lot

4. Buat Suami = 1 lot

5. Buat Atuk = 1 lot

6. Buat Nenek = 1 lot

7. Buat Anak = 1 lot

8. Jual kepada Pakcik/Makcik Saudara = 1 lot

9. Jual kepada Bos = 1 lot

10. Jual kepada Rakan Sekerja = 1 lot


Bertindaklah seperti seorang EJEN insuran menjual produknya. Peluang keemasan hanya datang sekali. Pahala ini InsyaAllah berterusan. SELAGI/SELAMA MANA ORANG MENGGUNAKAN MASJID, SELAMA ITULAH KITA MENDAPAT GANJARANNYA MESKIPUN KITA TELAH TIADA LAGI DI DUNIA INI.

Kebanyakan orang INGIN menderma, tetapi pendekatan yang ditampilkan kepada mereka terkadang tidak meyakinkan.

Tapi dalam hal masjid ini, ia sememangnya BENAR.

Sebagai ejen masjid, tiada apa yang kita dapat sepertimana seorang ejen insurans.

Hanya ALLAH SWT sahaja yang berhak memberi ganjaran kepada kita semua.

Moga ALLAH merahmati kita semua dan mempermudahkan segala urusan ini.... AMIEN.

Mesyuarat Karnival Rakan Masjid BBR

17 APRIL 2011 SURAU AR-RAUDHAH, BBR













Satu mesyuarat khas membincangkan program merakyatkan masjid untuk semua penduduk BBR telah diadakan pada 17 Mei 2011 lalu. Program yang dirancangkan ini dikenali sebagai "KARNIVAL RAKAN MASJID BANDAR BUKIT RAJA' yang antara lain melibatkan kerjasama semua Persatuan Penduduk di BBR dan juga Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Butiran Karnival dicadangkan seperti berikut;

Tarikh : 2 Julai 2011
Hari : Sabtu
Masa : 10 pagi - 11 malam
Lokasi : Padang bolasepak Casavista/Casanova

Agenda Karnival dicadangkan seperti berikut;

PAGI
- Perasmian oleh YB Dr Rani (ADUN Meru)
- Program kanak-kanak yang dikendalikan oleh Unit Zakat Didik

PETANG
- Sejenak Bersama IMAM MUDA Asyraf (golongan sasar: Remaja BBR)
- Pertandingan Tarik Tali antara persatuan penduduk

MALAM
- Solat Hajat Perdana di Surau Ar Raudhah
- Forum Perdana di pentas/tapak Karnival -moderator oleh Ustaz Halim Din
Antara ahli panel yang disenaraipendekkan
1. Ustaz Haslin
2. Ustaz Ahmad Shukri
3. Ustaz Fauzi Mustafa

Dirancang disediakan juga gerai-gerai jualan dan pameran.

Karnival ini sebolehnya melibatkan semua golongan dari kanak-kanak, remaja dan dewasa.
Dirancang juga program yang melibatkan penduduk non-muslim.

Karnival ini diadakan semata-mata bertujuan untuk terus 'menghidupkan' semangat kekitaan dikalangan ahli kariah masjid BBR agar dapat merangsang semua penduduk di sini menjalankan tugas ke arah pengwujudan masjid yang dirancangkan ini. Jawatankuasa berhasrat agar semua penduduk di BBR ini mendapat kesedaran tentang projek ini dan tidak hanya membiarkan pihak yang terbabit secara langsung sahaja menjalankan kerja. Kerja membina masjid ini memerlukan tenaga semua penduduk.

So..... marilah kita pakat sama-sama bekerja.
Pihak Jawatankuasa amat memerlukan ANDA SEMUA..!

Wednesday, May 11, 2011

Kutipan Dana @ 30 April 2011: RM 13,800.00

STATUS KUTIPAN DANA PEMBINAAN MASJID BANDAR BUKIT RAJA SEHINGGA 30 APRIL 2011 DILAPORKAN HAMPIR MENCECAH RM14 RIBU SEMENJAK PAMERAN (ALA PELANCARAN) REKABENTUK MASJID PADA 24 APRIL 2011 LALU.

ALHAMDULILLAH SYUKUR!

MARILAH KITA SAMA-SAMA MENGGERAKKAN JUMLAH KUTIPAN INI AGAR IMPIAN KEWUJUDAN MASJID INI MENJADI KENYATAAN.
LAGI CEPAT LAGI BAGUUUSSSS...

Tuesday, April 26, 2011

GAMBAR SEKITAR PAMERAN REKABENTUK MASJID KEPADA ORANG RAMAI



2. BROCHURE DAN PEK KOMUNIKASI YANG DIAGIHKAN UNTUK MEMUDAHKAN KEFAHAMAN. IA SELARAS DENGAN OBJEKTIF '1 INFO 1 SUARA'. SEMUA ORANG BERCAKAP PADA KEFAHAMAN YANG SAMA. PENERANGAN BUKAN SAHAJA UNTUK SESAMA KITA DI BBR INI, MALAH KEPADA ORANG LUAR BBR YANG 'MUNGKIN' SUDI MEMBANTU KITA PADA MASA AKAN DATANG.... INSYA ALLAH!


3. DUA BANNER KEMPEN CERAMAH USTAZ TUAN ASMAWI TUAN OMAR, MURSYID IMAM MUDA DISEDIAKAN. IA KEMUDIAN DIGANTUNG DI 2 PERSIMPANGAN LAMPU ISYARAT IAITU DI PERSIMPANGAN SALES GALLERY DAN PERSIMPANGAN GERBANG MASUK BBR DI DEPAN PETRONAS.


4. REKABENTUK DALAMAN MASJID BANDAR BUKIT RAJA YANG BOLEH DILIHAT. DIDAPATI RUANG UTAMA JEMAAH DIKECILKAN UNTUK PENJIMATAN KOS ELEKTRIK TERUTAMA PENGHAWA DINGIN. PUN BEGITU, ALIRAN UDARA KE DALAM MASJID JUGA DIAMBILKIRA.


"MEMBENTUK BULUH BIAR DARI REBUNGNYA".

5. PROJEK PEMBINAAN INI BUKAN SAHAJA MENARIK MINAT PENGLIBATAN ORANG DEWASA, MALAH MEMBABITKAN KANAK-KANAK. SEMOGA, BBR DAPAT MELAHIRKAN GENERASI ISLAM YANG DAPAT MEMIMPIN DUNIA PADA MASA AKAN DATANG..............AMIEN.

Monday, April 25, 2011

MURSYID IMAM MUDA BANTU KEMPEN DANA PEMBINAAN MASJID BBR


24 APRIL 2011 SURAU AR RAUDHAH BBR-
Program Imam Muda Astro Oasis menjadi satu fenomena luar biasa pada masa kini sehingga dikatakan 'rating'-nya telah mengalahkan Akademi Fantasia mahupun Raja Lawak. Ia telah berjaya menarik penonton seramai 3.63 juta. Dan pada musim kedua ini, dua calon Imam Muda yang masing-masing berasal dari Singapura dan Brunai telah menjadi satu fenomena yang amat luar biasa di negara tersebut. Di mana-mana sahaja kita pergi, semua orang bercakap tentang Imam Muda dan terpampang poster calon berkenaan di sana.

Perunding program Imam Muda yang juga Mursyid bagi musim kedua, Ustaz Tuan Asmawi Tuan Omar telah hadir ke sini bagi membantu kempen menjanakan dana tabung pembinaan masjid melalui ceramah yang beliau sampaikan sempena majlis pameran rekabentuk masjid berkenaan kepada orang ramai di Surau Ar Raudhah. Kehadiran beliau telah berjaya menarik kira-kira 120 orang ahli jemaah. Turut kelihatan jemaah dari Masjid Batu Belah, Surau Al Huda Batu Belah, Surau Al Masyhur Klang Utama dan Masjid Batu 4 Jalan Kapar.

Dalam ceramah beliau, Ustaz Tuan Asmawi antara lain menggesa kepada kita semua agar sama-sama membantu Jawatankuasa demi merealisasikan impian ini. Beliau secara peribadi mengkagumi usaha yang telah dibuat oleh kita semua dalam usaha pembinaan masjid ini meskipun diusia yang masih muda dan tanpa bantuan modal daripada mana-mana pihak berkuasa.

Beliau yang merupakan pencetus idea program Imam Muda di Astro telah menggesa kita semua bersatu dalam usaha ke arah tujuan yang sama.


Pihak Jawatankuasa mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Ustaz Tuan Asmawi atas kesudian beliau melapangkan masa untuk menyertai majlis ini meskipun jadual kerja beliau terlalu padat. Sebelum tiba di BBR ini, beliau terlibat dengan rakaman Imam Muda di Taman Tun Dr Ismail. Dan selepas program ini selesai, beliau perlu bergegas pulang ke Akademi Imam Muda untuk menyelaraskan peperiksaan calon-calon Imam Muda bersama 3 lagi Mursyid dan Mudir Imam Muda.

Sungguh padat jadual kerja beliau...!!!

Dengan itu, kita semua amat bertuah kerana dipermudahkan oleh ALLAH SWT untuk menerima tetamu 'istimewa' ini selaras dengan usaha kita sebagai 'ORANG MUDA' dalam usaha 'SENDIRI' membina masjid ini.

Marilah kita sama-sama bergerak lebih proaktif dalam mendapatkan dana untuk tujuan ini.

Thursday, April 21, 2011

MURSYID IMAM MUDA ASTRO OASIS DI BANDAR BUKIT RAJA

DIMAKLUMKAN BAHAWA, USTAZ TUAN ASMAWI TUAN OMAR AKAN HADIR KE BANDAR BUKIT RAJA SEPERTIMANA DINYATAKAN DALAM MAKLUMAT BANNER DI ATAS.

KEHADIRAN BELIAU ADALAH BERSEMPENA DENGAN MAJLIS PAMERAN REKABENTUK MASJID KITA DENGAN HARAPAN KITA SAMA-SAMA MELAKUKAN 'LANGKAH KANAN' DALAM USAHA MEREALISASIKAN PEMBINAAN MASJID DI TEMPAT KITA INI.

JOM... PAKAT DATANG.... HEBAHKANLAH PADA SEMUA JIRAN DAN RAKAN-RAKAN KITA. BAWALAH SELURUH AHLI KELUARGA KITA UNTUK KE MAJLIS INI... SEMOGA ALLAH SWT MERAHMATI KITA SEMUA.......... AMIEN!!!

BROCHURE SUMBANGAN DERMA & WAKAF


Pihak Jawatankuasa Pembinaan Masjid Bandar Bukit Raja telah menyediakan brochure sumbangan derma dan wakaf sebagai bahan kempen kutipan dana.

Antara lain, brochure ini menyediakan 2 borang iaitu;
1. BORANG AKUAN WAKAF
2. BORANG SUMBANGAN DERMA

Sumbangan boleh dibuat dalam bentuk wang tunai, cek ataupun bank deraf.

Selain wang tunai, keperluan masjid juga diistilahkan sebagai sumbangan. Manakala, wakaf dana pula adalah bernilai RM100.00 setiap lot dengan keluasan 1 kaki persegi dan dengan nilai gandaan seterusnya.

Dan, kupon derma juga dibolehkan dengan nilai RM50.00 dan RM10.00 setiap keping.

Dinyatakan juga 3 kaedah pembayaran yang boleh dibuat oleh para penderma.
1. Tunai kepada AJK JKPMBBR
2. Cek atas nama JKPMBBR
3. Internet Banking/Deposit Tunai/ATM Bank CIMB Islamic pada nombor akaun 1277-0000702-105.

Di samping itu, brochure ini juga menjelaskan visi dan misi pembinaan masjid ini serta sedikit info tentang lokasi dan latarbelakang masjid ini.


Buat permulaan, 5000 unit brochure telah dicetak dan akan diagihkan bermula dari majlis PAMERAN REKABENTUK MASJID BANDAR BUKIT RAJA yang dijadualkan pada 24 APRIL 2011 di SURAU AR RAUDHAH. Majlis itu didahulukan dengan CERAMAH PERDANA oleh USTAZ TUAN ASMAWI TUAN OMAR iaitu Mursyid Imam Muda Musim Ke-2 Astro Oasis.

Jom pakat sertai...........!!

TAKLIMAT PENGERUSI JKPMBBR BERKENAAN REKABENTUK MASJID

16 APRIL 2011, SURAU AR RAUDHAH. Satu sesi penerangan tentang model rekabentuk masjid BBR telah dibuat oleh Pengerusi JKPMBBR di sini selepas Ceramah dan Solat Isyak berjemaah. Sesi penerangan ini hanya tertutup kepada AJK yang mana berobjektif menyatukan kefahaman tentang status projek pembinaan Masjid BBR ini.


Antara lain, masjid yang direka ini mempunyai 2 menara dan kubah berbentuk segi. Dengan gabungan konsep Hijau, Unsur Air dan Kombinasi Seni Islam & Moden Kontemporari, ia semestinya menghasilkan suatu kelainan. Kelainan yang ditonjolkan ini direka semata-mata untuk menarik para jemaah apabila siap nanti dan seharusnya lebih mendekatkan lagi diri kita kepada ALLAH SWT. Antara lain, keluasan tanah masjid adalah 48000 kaki persegi dengan kos sekitar RM15 juta. Dengan lapisan 2 tingkat, ia dijangka dapat menampung 4500 jemaah pada satu masa.

Seramai 19 orang AJK telah hadir untuk sesi taklimat ini. Pengerusi memaklumkan bahawa tibalah masanya untuk semua KITA sebagai penduduk di BBR ini sama-sama bergerak mencari dana untuk pembinaan masjid ini. Kita tidak boleh menuding jari kepada sesiapa pun kerana masjid ini adalah masjid kita semua. Bukannya masjid AJK mahupun Pengerusi sendiri. Justeru, semua orang perlu bekerja.

TERIMA KASIH PADA SEMUA SUKARELA PEMASANG BANNER


Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Masjid Bandar Bukit Raja amat menghargai kerjasama yang ditunjukkan oleh semua sukarela yang telah membantu pihak Jawatankuasa memasang banner kepada orang ramai.

Dalam mesej SMS beliau kepada semua para sukarelawan, beliau amat terharu dengan sokongan dan diberikan meskipun cuaca pada hari berkenaan agak panas.

Gotong royong pemasangan banner telah dibuat pada 17/4/2011 bermula jam 9.30 pagi dengan cuaca 39 darjah celsius.

Gotong royong ini tamat kira-kira jam 1.30 tengahari.

Seramai 9 orang sukarelawan yang terlibat dengan dibahagikan kepada 2 kumpulan.

Selain berhadapan dengan cuaca yang terik, pihak sukarelawan berhadapan dengan tiupan angin yang kuat dan serangan serangga pada pokok-pokok yang dipanjat. Sementara itu, terdapat juga kesukaran untuk menggantung banner berkenaan ekoran jarak antara pokok/tiang ke pokok/tiang agak jauh.

Rata-rata sukarelawan berasa amat seronok dengan tugasan ini meskipun berdepan dengan pelbagai kekangan dan meletihkan.

Ada juga antara mereka yang mencadangkan agar pihak berkenaan terutama Sime Darby menyediakan tempat khas untuk sebarang banner yang diluluskan oleh pemaju bagi tujuan publisiti yang berkaitan dengan orang awam seperti ini. Lokasi paling strategik ialah di persimpangan lampu isyarat Sales Gallery dan/atau pintu-pintu masuk ke Bandar Bukit Raja.

Jom, marilah bersama-sama dengan Jawatankuasa bergiat mempromosikan kutipan dana ini demi pembinaan MASJID KITA ini.

Mudah-mudahan ALLAH SWT permudahkan segala urusan kita atas setiap sumbangan dan bantuan ikhlas yang kita hulurkan.

Amien.....