Saturday, March 26, 2011

Surat Kebenaran Membuat Pungutan Khairat Untuk Membina Masjid Daripada MAIS

ALHAMDULILLAH SYUKUR KEPADA ALLAH SWT yang telah mempermudahkan segala urusan. JPMBBR telah menerima surat daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang bertarikh 6 Mac 2011 lalu yang ditandatangani oleh Setiausaha MAIS, Tn Hj Marzuki Hussin.

Antara lain, surat ini menyatakan bahawa pihak MAIS tiada apa-apa halangan dan memberi kebenaran untuk pihak kita membuat kutipan dana daripada para dermawan yang mana diistilahkan sebagai Pungutan Khairat. Tempoh yang dibenarkan untuk kutipan adalah selama 6 bulan bermula 15 Mac 2011 hingga 14 September 2011.

Di samping itu, dinyatakan juga beberapa syarat yang perlu dipatuhi sepanjang proses kutipan dibuat dan disenaraikan 10 individu yang telah diberi kuasa untuk membuat kutipan.

Pihak MAIS juga mengkehendaki laporan bertulis setelah tempoh kebenaran memungut derma selesai.

Marilah kita sama-sama berusaha untuk mencapai sasaran kutipan agar pembinaan rumah Allah di sini menjadi realiti... Insya Allah.


Tuesday, March 22, 2011

Jom Derma! CIMB ISLAMIC BANK - 12770000702105

Mari Menderma Untuk Pembinaan Masjid Kita

12770000702105
- CIMB ISLAMIC BANK
atas nama JAWATANKUASA PEMBINAAN MASJID BANDAR BUKIT RAJA

Hadith Rasulullah SAW:
"Apabila matinya anak Adam, maka terputuslah ia dengan amalannya melainkan 3 perkara iaitu
1. sedekah jariah
2. ilmu yang bermanfaat
3.anak soleh yang mendoakannya "

Tuesday, March 15, 2011

BERITA TERKINI!!!! - KELULUSAN MEMUNGUT DERMA

ALHAMDULILLAH SYUKUR

Pegawai MAIS telah memaklumkan bahawa permohonan Jawatankuasa Pembinaan Masjid BBR (JKPMBBR) untuk kebenaran memungut derma bagi tujuan pembinaan masjid telah diluluskan. Pengerusi JKPMBBR dalam mesej ringkasnya (SMS) kepada semua AJK menyatakan bahawa beliau telah dihubungi pada hari ini (15/3/2011) kira-kira jam 9.00 pagi oleh pegawai MAIS.

"As Salam, berita jam 9, kebenaran memungut derma daripada MAIS telah diluluskan. Pegawai MAIS baru sebentar tadi call saya. Tahniah kepada semua dan syukurlah kepada Allah SWT."
- petikan SMS Pengerusi JKPMBBR.

Rentetan itu, satu mesyuarat JK Penjanaan Dana akan dibuat pada 27hb Mac 2011 nanti pada jam 10 pagi bagi memutuskan pelan tindakan akhir sebelum aktiviti dana dimulakan. Kepada semua AJK Penjanaan Dana, semua dikehendaki hadir.

Tahniah buat semua... Maka, dengan ini bermulalah perjuangan mendapatkan seberapa banyak kutipan bagi memenuhi kantung tabung pembinaan masjid. Kepada sesiapa yang mempunyai idea dan pandangan untuk memantapkan lagi pelan tindakan memungut derma, sumbangan anda semua amat-amatlah dialu-alukan.

Ini masjid KITA. Ayuh..... bersama-sama kami merealisasikan kewujudannya.

Monday, March 7, 2011

Majlis Solat Hajat Bagi Usaha Pembinaan Masjid BBR


6 Mac 2011, BBR: Satu Majlis Solat Hajat telah dibuat pada 6 Mac 2011 bertempat di Surau Ar Raudhah, iaitu satu-satunya surau yang ada di Bandar Bukit Raja ini.

Program berlangsung selepas solat Isyak yang mana dipimpin oleh Ustaz Safuan Nayan dari Jabatan Agama Islam Selangor. Sebelum itu, Ustaz Safuan juga telah menyampaikan ceramah bulanan beliau di Surau Ar Raudhah ini iaitu bagi slot setiap Ahad minggu pertama.

Sementara itu, sebaik sahaja program ceramah Ustaz Safuan selesai, Pengerusi JKPMBBR iaitu saudara Nazri Mohamad Nor telah menjelaskan bahawa terdapat 3 tujuan diadakan solat hajat ini;

1. Ia antara lain bertujuan untuk sama-sama (semua jemaah) memohon dipermudahkan segala urusan berkaitan pembinaan masjid ini baik dari segi kelulusan, kewangan dan sebagainya.

2. Ia juga bertujuan agar diperkukuhkan hubungan sesama jemaah yang ada di sini baik yang hadir ke surau mahupun yang masih 'menyepikan diri' di luar sana agar dapat terus memperjuangkan pembinaan masjid ini. Biar ada 1 Hati, 1 Suara, 1 Semangat atas dasar perjuangan Islam.

3. Dipohon daripada Allah SWT agar dilembutkan hati semua orang Islam di BBR ini agar dapat bersama-sama dengan Jawatankuasa menyumbang apa jua sumbangan yang termampu demi kelancaran pembinaan masjid ini. Sumbangan ini bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit semata-mata, malah dituntut juga sumbangan idea, kepakaran, kritikan membina, pengorbanan masa, hebahan infomasi (sama ada mulut ke mulut, SMS, emel, telefon dan sebagainya) dan yang paling penting ialah sumbangan sokongan moral kepada pihak yang terlibat secara langsung memperjuangkan pembinaan rumah Allah ini.



Sebelum solat hajat dimulakan, Ustaz Safuan Nayan memberi penerangan tentang kaedah solat hajat yang akan didirikan bersama-sama/berjemaah. Dan yang paling penting, beliau telah membaca doa solat hajat dalam bahasa Melayu iaitu memohon kepada Allah secara 'direct' dalam bahasa yang mudah sehingga ada jemaah yang hiba dalam kerendahan diri memohon pertolongan Allah SWT.



Kira-kira 30 ahli jemaah telah mendirikan solat hajat demi pembinaan Masjid BBR KITA ini. Kepada anda yang tidak berkesempatan, sama-samalah kita memohon kepada Allah SWT dalam setiap doa selepas solat kita agar pembinaan masjid ini menjadi realiti.

Dan, program solat hajat ini akan terus dibuat pada masa-masa akan datang iaitu....

SETIAP AHAD MINGGU PERTAMA
SELEPAS SOLAT ISYAK
BERTEMPAT DI SURAU AR RAUDHAH, JALAN GAMELAN.

Sama-samalah kita menyumbang..........
Dan, hebahkanlah perkara yang baik ini kepada rakan-rakan anda yang lain....
Wallahu'alam.