Monday, April 25, 2011

MURSYID IMAM MUDA BANTU KEMPEN DANA PEMBINAAN MASJID BBR


24 APRIL 2011 SURAU AR RAUDHAH BBR-
Program Imam Muda Astro Oasis menjadi satu fenomena luar biasa pada masa kini sehingga dikatakan 'rating'-nya telah mengalahkan Akademi Fantasia mahupun Raja Lawak. Ia telah berjaya menarik penonton seramai 3.63 juta. Dan pada musim kedua ini, dua calon Imam Muda yang masing-masing berasal dari Singapura dan Brunai telah menjadi satu fenomena yang amat luar biasa di negara tersebut. Di mana-mana sahaja kita pergi, semua orang bercakap tentang Imam Muda dan terpampang poster calon berkenaan di sana.

Perunding program Imam Muda yang juga Mursyid bagi musim kedua, Ustaz Tuan Asmawi Tuan Omar telah hadir ke sini bagi membantu kempen menjanakan dana tabung pembinaan masjid melalui ceramah yang beliau sampaikan sempena majlis pameran rekabentuk masjid berkenaan kepada orang ramai di Surau Ar Raudhah. Kehadiran beliau telah berjaya menarik kira-kira 120 orang ahli jemaah. Turut kelihatan jemaah dari Masjid Batu Belah, Surau Al Huda Batu Belah, Surau Al Masyhur Klang Utama dan Masjid Batu 4 Jalan Kapar.

Dalam ceramah beliau, Ustaz Tuan Asmawi antara lain menggesa kepada kita semua agar sama-sama membantu Jawatankuasa demi merealisasikan impian ini. Beliau secara peribadi mengkagumi usaha yang telah dibuat oleh kita semua dalam usaha pembinaan masjid ini meskipun diusia yang masih muda dan tanpa bantuan modal daripada mana-mana pihak berkuasa.

Beliau yang merupakan pencetus idea program Imam Muda di Astro telah menggesa kita semua bersatu dalam usaha ke arah tujuan yang sama.


Pihak Jawatankuasa mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Ustaz Tuan Asmawi atas kesudian beliau melapangkan masa untuk menyertai majlis ini meskipun jadual kerja beliau terlalu padat. Sebelum tiba di BBR ini, beliau terlibat dengan rakaman Imam Muda di Taman Tun Dr Ismail. Dan selepas program ini selesai, beliau perlu bergegas pulang ke Akademi Imam Muda untuk menyelaraskan peperiksaan calon-calon Imam Muda bersama 3 lagi Mursyid dan Mudir Imam Muda.

Sungguh padat jadual kerja beliau...!!!

Dengan itu, kita semua amat bertuah kerana dipermudahkan oleh ALLAH SWT untuk menerima tetamu 'istimewa' ini selaras dengan usaha kita sebagai 'ORANG MUDA' dalam usaha 'SENDIRI' membina masjid ini.

Marilah kita sama-sama bergerak lebih proaktif dalam mendapatkan dana untuk tujuan ini.

No comments:

Post a Comment